Categories
SELANGOR

MB: Pertahan integriti, amal kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 APR: Pembangunan sesebuah kerajaan berintegriti dan mempunyai ‘Good Governance’ adalah tanggungjawab yang bukan hanya digalas pemimpin utama bahkan semua pihak dalam semua peringkat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan itu selaras dengan tuntutan ajaran Islam yang menitik beratkan aspek integriti dan ketelusan dalam kehidupan, kepimpinan dan pengurusan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang menonjolkan kepimpinan beramanah.

“Kerajaan Negeri mengambil tindakan proaktif mengangkat dan membincangkan perkara integriti ini di semua peringkat.

“Semua yang memegang amanah, sama ada di pusat, negeri, daerah, jabatan termasuk masjid dan surau mesti tidak meremehkan soal keyakinan dan integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohamed Azmin berkata, mengamalkan prinsip integriti membolehkan semua pihak membendung secara kolektif gejala rasuah yang meruntuhkan negara dan tamadun ketika ini.

“Justeru, kita perlu memupuk dan jadikan nilai integriti sebagai ‘collective behavior’ atau akhlak masyarakat.

“Utamakan kepentingan lain mengatasi kepentingan peribadi. Utamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan kelompok.

“Tanpa prinsip dan amalan integriti, pintu terbuka luas serta terdedah kepada ancaman rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

=EZY=