Categories
NASIONAL

Najib tak faham kesusahan dan derita rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 7 APR: Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak memahami kesukaran dihadapi rakyat apabila mereka terpaksa menanggung pelbagai beban.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ketika di bawah pemerintahan Najib sebagai Perdana Menteri beliau melaksanakan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus yang membeban rakyat serta berlakunya kenaikan harga barangan.

Chang Khim berkata Najib mengeluarkan kenyataan kononnya pencapaian Akujanji Kerajaan Barisan Nasional (BN) mencapai 99.4 peratus setakat 28 Februari tahun ini.

“Kenapa dia (Najib) tidak kata pencapaian 100 peratus sahaja?, ini kerana dia tidak berani.

“Memang dia hidup di alam lain kerana rakyat ketika zaman pemerintahannya dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit malah inflasi tinggi berlaku,” katanya.

Semalam Najib turut menggariskan tujuh kejayaan kerajaan di bawah kepimpinannya melalui ucapan khas pembubaran Parlimen.

Chang Kim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan itu juga menyelar Najib hanya memperbesarkan pencapaiannya.

“Rakyat melalui waktu yang sukar bersamanya sebelum ini, jadi saya yakin mereka tidak mahu mengulangi sejarah lama itu.

“Pengundi semakin bijak dan saya yakin rakyat Selangor khasnya tidak mahu BN memegang negeri ini setelah melihat perkembangan pesat di bawah tampuk kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

=EZY=