OLEH ZAREEF MUZAMMIL
GOMBAK, 28 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan menerima pencalonan Tian Chua untuk bertanding di Parlimen Batu disifatkan sebagai mencemarkan demokrasi Malaysia.
Dato Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau amat kesal dan kecewa dengan tindakan SPR yang enggan menerima pencalonan Tian Chua itu.
“Tindakan SPR itu tidak berasas dan mencemarkan proses demokrasi di Malaysia. Saya mengutuk sekeras-kerasnya layanan SPR terhadap saudara Tian Chua pada penamaan calon hari ini,” katanya.
Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, keputusan pegawai SPR adalah menghina keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman pada 2 Mac 2018 yang mengurangkan hukuman denda saudara Tian Chua kepada RM2,000.
“Keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 30 Jun 2011 bahawa Tian Chua layak sebagai ahli Parlimen walaupun dikenakan denda RM2,000. Ini bermakna, Tian Chua layak bertanding sebagai calon Batu dalam PRU14.
“Saya menyeru semua pihak supaya membantah tindakan SPR yang menganiaya Tian Chua dengan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Pakatan Harapan.
“Hanya dengan undi, kebobrokan sebegini dapat dihentikan demi masa depan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
=EZY=