Categories
SELANGOR SUKANKINI

Pengurusan DEFM tambah baik, suntik aspek komersial

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 18 APR: Keputusan Kerajaan Negeri menyerahkan pengurusan Stadium Shah Alam kepada Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) adalah bagi penambahbaikan dan menyuntik aspek komersial dalam pengurusan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pendekatan diambil turut akan megurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Negeri dari segi penyediaan peruntukan setiap tahun.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selaku pihak pengurusan stadium terpaksa menggunakan wang pembayar cukai lebih kurang RM4 hingga RM5 juta setahun.

“Selepas pengambilalihan ini, DEFM meletakkan tiga atau empat tahun pertama untuk disuntik Kerajaan Negeri dan kita akan menyuntik aspek komersial seperti mana pengurusan stadium di negara maju supaya dapat bergerak dengan pembiayaan penuh daripada operasi semasa,” katanya.

Beliau berkata, pengambilalihan pengurusan Kompleks Belia dan Sukan juga dengan tujuan sama dan kini Kerajaan Negeri tidak perlu lagi mengeluarkan sebarang peruntukan kepada DEFM.

Sebelum perubahan itu, katanya, pengurusan kompleks di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan perbelanjaan pengurusan adalah lebih kurang RM1 juta setahun.

“Keputusan menyerahkan Stadium Shah Alam kepada DEFM atau nama lamanya, MSNH Holdings Sdb Bhd (MSNSH) dibuat pada 2009 oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Saya selaku Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi DEFM hanya melengkapkannya selepas melalui beberapa proses rundingan dengan pihak Kerajaan Negeri.

“Maka keputusan ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia masih diuruskan anak syarikat 100 peratus milik Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=