Categories
NASIONAL

SKMM ‘spam’ orang awam?

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APR: Sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada segelintir orang awam semalam menjadi tanda tanya.

Tindakan ‘spam’ oleh SKMM itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen seterusnya menjadi perbualan hangat di laman facebook dan twitter.

SMS itu berbunyi, ‘Meraikan 20 tahun Akta Komunikasi & Multimedia 1998. Rakyat terus mengecapi nikmat kemajuan teknologi. Jadilah rakyat digital yang HEBAT!’.

Menjadi tanda tanya apabila tiada nombor penghantar dipaparkan, hanya nama ‘MCMC’ tertera pada peti masuk telefon penerima.

Antara yang keliru dengan SMS berkenaan ialah aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir sehinga berkongsi kekeliruan di laman twitternya isu SKMM tersebut.

“Siapa lagi mendapat pesanan ini? Mereka lupa siapa yang menubuhkan SKMM? kan? Tsk, tsk! #GE14),” tulisnya di Twitter peribadinya.

Sementara itu seorang blogger yang dikenali sebagai Theskop berkata, mungkin masyarakat boleh bertindak memandang sebelah mata dengan SMS berkenaan.

“Menjadi tanda tanya bagaimana SKMM mendapatkan maklumat data pengguna.

“Sebelum ini saya pernah membuat aduan berhubung khidmat telco yang tidak memuaskan, kandungan internet dan maklumat peribadi disalahguna.

“Namun SKMM tidak pernah menjawab aduan berkenaan, sekarang tiba-tiba dapat sms dari mereka pula, adakah ini adil.

“Kalau SKMM pun begini, tidak hairanlah ada individu menggunakan nombor peribadi pengguna untuk tujuan jahat,” katanya.

Sementara itu SelangorKini sudah menghubungi SKMM melalui talian hotline, 1800 188 030 bagi mengesahkan sms yang dihantar pihak mereka.

Operator wanita di talian mengesahkan SMS itu sememangnya dihantar daripada SKMM bertujuan untuk kesedaran awam.