OLEH NORHAYATI UMOR
KUALA SELANGOR, 26 APR: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menziarahi Kompleks Makam Diraja Kota Melawati, Bukit Malawati di sini, semalam.
Baginda diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Menjadi rutin bagi DYMM Tuanku untuk menziarah makam-makam Diraja dan kerabat Selangor setiap tahun sebelum menjelang Ramadan.
Kompleks Makam ini menempatkan makam-makam Sultan Selangor terdahulu, antaranya Sultan Selangor Pertama, Almarhum Sultan Salehuddin Shah (Raja Lumu) yang memerintah dari 1745 hingga 1778.
Selain itu, Sultan Selangor Kedua, Almarhum Sultan Ibrahim Shah (1778 hingga 1826) dan Sultan Selangor Ketiga, Almarhum Sultan Muhammad Shah (1826 hingga 1857).
Sementara itu, DYMM Sultan Selangor turut menziarahi Makam Diraja Sultan Abdul Samad, Makam Diraja Kampung Bandar dan Majlis Diraja Sultan Alaeddin.