Categories
SELANGOR

Sokongan kepada MB meningkat, taktik kotor BN ditolak rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APR: Peningkatan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali meningkat kepada 65 peratus.

Setiausaha Politiknya, Shuhaimi Shafiei berkata, sokongan memuncak itu meninggalkan peratusan sokongan terhadap Mantan Menteri Besar terdahulu.

“Lebih tiga tahun, Mohamed Azmin menerajui Kerajaan Negeri, berasaskan kekuatan itu PAKATAN yakin membina lakaran baru.

“Sokongan kepada KEADILAN turut melepasi tahap 44 peratus, dan jika dicampur dengan gabungan AMANAH dan BERSATU, pastinya sokongan ini memberi kekuatan untuk kita bertempur pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Shuhaimi menyifatkan dengan lakaran sejarah baru akan kejayaan dicipta PAKATAN, sudah pasti rakyat akan menterjemahkannya di kertas undi.

Katanya, keyakinan itu berasaskan idealisme dan karisma Mohamed Azmin.

“Walaupun persempadanan semula menyaksikan 33 kerusi mempunyai majoriti pengundi Melayu, tetapi rakyat Selangor ketika ini sangat ‘celik’.

“Taktik ini pastinya lakaran Barisan Nasional (BN) untuk menang, kami pernah berada dalam parti itu, tahu cara bagaimana BN mahu melakar kemenangan,” katanya.

Beliau menyifatkan taktik BN itu tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana hampir 60 peratus kaum Melayu terdedah kepada media alternatif dan sumber yang tidak terhad.

“Mungkin BN boleh bawa taktik ini ke negeri lain kerana ia tidak sesuai untuk negeri ini,” katanya.

Peningkatan sokongan itu berbanding 58 peratus sebelum ini mengesahkan kredibiliti kepimpinan Azmin berada di kelasnya tersendiri.

=EZY=