Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

14,449,200 rakyat Malaysia laksana pengundian hari ini

SHAH ALAM 9 MEI: Rakyat Malaysia mengundi hari ini untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Seramai 14,449,200 daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 pemilih berdaftar yang diwartakan akan mengundi mulai 8 pagi hingga 5 petang ini.

Baki pemilih yang lain adalah pengundi tidak hadir luar negara, pengundi pos dan pengundi awal.

Seramai 2,333 calon bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini. Pada hari penamaan calon, Barisan Nasional (BN) menang tanpa pertandingan kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan.

Untuk tujuan pengundian hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 8,253 pusat mengundi yang mempunyai 28,115 saluran mengundi.

Kos pengendalian PRU14 dianggarkan berjumlah RM500 juta.

Bagi menjalankan proses PRU14, SPR melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya selain 259,391 petugas pilihan raya.

SPR menjangkakan keputusan PRU14 akan dapat diketahui seawal 9 malam.

Pemilih boleh membuat semakan pengundian masing-masing seperti nama Pusat Mengundi dan saluran mengundi (dalam buku Daftar Pemilih) melalui aplikasi MySPR Semak atau laman pengundi spr.gov.my atau sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAK No kad pengenalan dan hantar ke 15888 atau menghubungi talian 03-88927018 atau semak di barung SPR.