OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamed yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-7 secara rasmi.
Sesungguhnya jawatan disandang merupakan amanah berat dari rakyat yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.
Justeru segala janji disajikan kepada rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu perlu dilaksanakan sehabis baik termasuk dengan segera mengusahakan pembebasan tahanan politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah pertama agenda reformasi institusi ke arah yang lebih telus, adil dan saksama.
Reformasi institusi penting seperti badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi kes-kes penyalahgunaan kuasa melibatkan pemimpin negara pada masa akan datang.
Selain itu, isu kesempitan ekonomi rakyat rentetan dari kos sara hidup rakyat yang meningkat perlu diberikan perhatian serius dengan melaksanakan agenda-agenda ekonomi yang telah ditawarkan kepada rakyat menerusi manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN).
Tahniah buat seluruh rakyat yang telah berpartisipasi dalam PRU14 dengan membuang undi sebagai saluran aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.
ABIM amat berharap agar kepimpinan Perdana Menteri dan barisan kabinetnya yang bakal diumumkan kelak bakal membawa sinar harapan baru kepada masa hadapan negara ini.
* Mohamad Raimi Ab Rahim adalah Presiden ABIM