Categories
NASIONAL

Apa ditakut sangat gambar Tun M?

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Tindakan memotong gambar Tun Dr Mahathir Mohamad pada poster Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah satu tindakan keterlaluan dan dangkal.

Penyandang Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata ia adalah tindakan yang lucu oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPR) di Parlimen Ayer Hitam.

“Apa yang ditakutkan sangat dengan gambar seorang warga emas yang berusia 93 tahun ini?

“Nak kata lucu memang lucu, dan ini memang kerja bodoh menunjukkan Barisan Nasional (BN) begitu takut dengan Tun M walau hanya pada gambar,” katanya katanya ketika sidang media di ibu pejabat Parlimen Shah Alam bersama calon DUN Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik, di sini, pagi tadi.

Khalid berkata, jika pihak BN merasakan mereka bagus dalam mentadbir dan menguruskan negara sebelum ini, jadi untuk apa takut pada calon Perdana Menteri PAKATAN tersebut.

“Kita sendiri tidak pernah halang jika BN nak letak gambar Najib di seluruh poster mereka kerana kita tahu itu adalah calon Perdana Menteri mereka.

“Maka tidak perlu untuk bertindak demikian kerana PAKATAN meletakkan gambar Tun M sebagai makluman kepada masyarakat bahawa beliau adalah calon Perdana Menteri jika kita menang Putrajaya,” katanya.

Terdahulu dilaporkan gambar Tun Dr Mahathir dipotong penguatkuasa SPR di kawasan calon Parlimen Ayer Hitam, Liew Chin Tong selain gambarnya bersama Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon PAKATAN Negeri Sembilan diturunkan di negeri itu.

=EZY=