Categories
NASIONAL

BN calon kitar semula, rakyat terus sokong PAKATAN

OLEH HAFIZAN TAIB

MELAKA, 8 MEI: Rakyat mesti menolak Barisan Nasional (BN) kerana kegagalan parti itu menampilkan calon berwibawa dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) di Melaka.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pencalonan mantan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd ali Rustam di Parlimen Hang Tuah Jaya adalah gambaran ketandusan pemimpin berkaliber di dalam Umno dan BN.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah pilihan terbaik untuk mendapat mandat rakyat kerana menampilkan pemimpin muda yang sudah membuktikan kebolehan sebagai wakil rakyat.

“PAKATAN bersetuju calon terbaik di Parlimen Hang Tuah Jaya ialah Shamsul Iskandar Md Akin dan dengan sokongan rakyat beliau akan dipilih sekali lagi.

“Ini kerana BN tiada calon baharu dan terpaksa kitar semula pemimpin lama untuk ditonjolkan di kawasan Parlimen ini,” katanya dalam program Jelajah KEADILAN Harapan ke Melaka di Kampung Solok Baroh di sini, semalam.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar adalah penyandang Parlimen Hang Tuah Jaya (sebelumnya Bukit Katil) yang melalui proses persempadanan semula untuk PRU14.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, rakyat juga harus menyokong PAKATAN menggantikan BN di peringkat Persekutuan ekoran negara kini menghadapi masalah ekonomi yang teruk.

Katanya, Melaka turut terkesan dengan apa berlaku di mana hutang negara kini melebihi RM1 trilion yang tidak boleh dinafikan BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya juga menyatakan sokongan kepada calon PAKATAN di Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, iaitu bukan orang baharu dan sudah mewakili DUN Ayer Keroh selama dua penggal juga menjadi Ketua Pembangkang di Melaka.

“Saya berharap Shamsul Iskandar dan Poay Tiong akan berada di Parlimen pada 10 Mei ini,” katanya yakin dengan perubahan terhadap sokongan rakyat untuk PAKATAN mengambilalih pentadbiran negara di Putrajaya dalam PRU kali ini.

=EZY=