OLEH SHEEDA FATHIL
BUKIT KAPAR, 1 MEI: Calon N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mahu era permainan tradisional dihidupkan kembali supaya tak lupus dek zaman.
Beliau berkata, permainan tradisional seharusnya diangkat kembali supaya generasi baru dapat mempraktikkan pada masa akan datang.
“Antara permainan tradisional yang akan kita hidupkan seperti gasing pangkah dan layang-layang serta jadikan ia sebagai salah satu aktiviti tradisi Selangor.
“Saya bangga apabila kampung saya sendiri iaitu Bukit Kapar masih mengetengahkan permainan tradisi sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke Pertandingan Gasing Pangkah Kampung Bukit Kapar, di sini, semalam.
Dr Daroyah berkata, permainan tradisional gasing pangkah itu juga akan diangkat sebagai salah satu acara tahunan kalendar negeri Selangor pada masa akan datang.
“Sebenarnya jika kita lihat sambutan terhadap permainan gasing pangkah ini masih mendapat tempat dalam hati sesetengah peminatnya cuma mungkin promosi tidak menonjol kepada rakyat.
“Oleh itu, inilah masanya untuk kita hidupkan dan bongkar kembali tradisi permainan itu kepada umum,” katanya.
Terdahulu, Dr Daroyah yang juga calon N.43 DUN Sementa bertanding empat penjuru dengan pencabarnya iaitu Datuk Saroni Judi daripada Barisan Nasional (BN), Wan Hasrina Wan Hassan (PAS), Gandhi Nagamuthu Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Namun, sebelum ini, pada PRU13 Daroyah merupakan penyandang kerusi DUN Sementa menang dengan majoriti undi 7,846.
=EZY=