Categories
SELANGOR

PAKATAN lahirkan pelapis muda, bukan sekadar pengikut

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Pemimpin yang bagus adalah pemimpin yang melahirkan pemimpin lain, kata Calon Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Bekas Timbalan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor itu berkata demikian bagi menolak dakwaan sesetengah pihak yang melebelkan dirinya dan calon ADN Gombak Setia, Hilman Idham sebagai budak suruhan yang mendapat kelebihan daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk bertanding.

“Itu hanya persepsi mainan politik. Seharusnya masyarakat melihat daripada sudut positif apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) mengetengahkan orang muda bermakna parti ini tidak ketandusan pelapis.

“Malahan sebagai seorang pemimpin yang bagus, beliau berjaya melahirkan pemimpin muda di bawahnya dan bukan hanya melahirkan pengikut,” katanya kepada SelangorKini.

Najwan berkata, tidak adil jika mereka dinilai begitu tanpa memandang daripada sudut positif apabila pimpinan parti memberi peluang kepada orang muda untuk menjadi seorang pemimpin.

“Jika di lihat zaman pimpinan kita satu ketika dulu juga mula bermula dari zaman muda.

“Sebagai contoh Dato’ Seri Azmin sendiri adalah orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pada ketika itu beliau diberi peluang mengembangkan kepimpinannya sehingga dia berada di tahap yang disegani kini.

“Inilah ciri kepimpinan sebenar dalam PAKATAN mencari pelapis anak muda untuk masa depan negara,” katanya.

=EZY=