Categories
KENYATAAN MEDIA

Episod baru menjelang 70 tahun NAKBA

OLEH: Mohamad Raimi Ab Rahim

Pengisytiharan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan pemindahan kedutaan Amerika Syarikat daripada Tel Aviv ke Jurusalem semalam adalah merupakan manifestasi pengulangan kepada episod baru “malapetaka” atau “Nakba” yang diratapi oleh jutaan rakyat Palestin dan seluruh komuniti dunia sejak 70 tahun yang lalu.

ABIM melihat tindakan ini adalah terjemahan kepada “Kesepakatan Abad Ini” yang dipromosikan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang secara tidak langsung telah menghancurkan kesepakatan perdamaian yang diputuskan sebelum ini.

Ternyata Israel dan Amerika berlagak angkuh dan sombong kerana tidak menghormati permintaan masyarakat dunia agar konflik ini harus ditentukan menerusi penyelesaian damai dan mengikuti konsensus antarabangsa.

Lebih memburukkan keadaan, pembantaian dan pembunuhan rakyat Palestin dalam Perarakan Pulang Besar-besaran (Great Return March-GRM) di Semenanjung Gaza yang berlaku secara terang-terangan ketika umat Islam sedang dalam persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan.

5. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, seramai 58 rakyat Palestin diberitakan syahid di Semenanjung Gaza dan pastinya angka ini akan bertambah menjelang kemuncak 70 tahun perjuangan mereka membebaskan diri dari rejim Zionis Israel sehingga Ramadhan ini.

ABIM mendesak agar komuniti dunia terus memberi tekanan diplomatik kepada Israel dan Amerika Syarikat. PBB wajar untuk menggantung keanggotaan Israel dan Amerika Syarikat dalam PBB selain melaksanakan sekatan ketenteraan dan ekonomi ke atas kedua-dua buah negara ini.

ABIM menyokong inisiatif Great Return March (GRM) yang telah bermula pada 30 Mac lalu kerana ianya bertetapan dengan Resolusi 194 (III) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diterima pakai sejak Disember 1948 yang mengiktiraf hak pelarian Palestin untuk kembali ke kediaman mereka.

ABIM menyeru kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir agar dapat menyuarakan pendirian Malaysa berhubung perkara ini. Ketegasan Perdana Menteri sebelum ini dalam memperjuangkan isu Palestin pastinya akan didengari dan didokong oleh masyarakat antarabangsa.

Justeru, ABIM bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia turut melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin khususnya melibatkan bantuan perubatan yang amat diperlukan kini bagi membolehkan rakyat Palestin yang tercedera dan mendapat rawatan sewajarnya akibat kekejaman rejim Zionis Israel. Bantuan awal sebanyak RM20,000.00 (Dua Puluh Ribu Ringgit) akan diserahkan kepada rakan kerjasama GPM bagi tujuan ini.

1ABIM menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000.00 (Lima Ratus Ribu Ringgit) bagi tujuan bantuan kesihatan dan perubatan ini agar dapat diserahkan menjelang Ramadhan ini.

Orang ramai yang ingin turut membantu boleh memasukkan dana bantuan ke dalam akaun Global Peace Mission di nombor akaun: 14-023-01-002922-4 (Bank Islam Malaysia Berhad) 1051-9000-2871(Affin Islamic Bank Berhad) atau nombor akaun: 5642-2161-1602 (Maybank Islamic Berhad). Transaksi online pula boleh dibuat pada pautan ini https://www.billplz.com/palestin

* Mohamad Raimi Ab Rahim adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)