OLEH SHEEDA FATHIL
KLANG, 6 MEI: Isteri kepada Pelumba Motosikal Negara, Zamri Baba terharu apabila calon N.43 Sementa, Dr Daroyah Alwi sudi menziarahi suaminya, hari ini.
Isteri beliau, Fazlina Ahmad Fauzy, 35 berkata, beliau tidak menjangka Dr Daroyah berkunjung ke kediamannya malah belum pernah ada mana-mana wakil rakyat hadir menziarahi suaminya sebelum ini.
“Dulu, ada juga menteri kata mahu melawat tetapi tidak datang sehingga hari ini. Terima kasih buat Dr Daroyah kerana sudi bertanya khabar.
“Ini adalah ujian Allah kepada saya yang mempunyai dua anak masih kecil. Ini bukan penghalang untuk saya meneruskan hidup dan menjaga abang (Zamri Baba),” katanya kepada SelangorKini.
Fazlina berkata, kini meniaga secara kecil-kecilan membuka warung makan demi menyara keluarga mereka.
“Sebelum ini, keluarga kami bergantung sepenuhnya pada gaji suami. Selepas kemalangan, punca pendapatan hilang dan abang (Zamri Baba) kini mempunyai kad Orang Kelainan Upaya (OKU), daripada situ sedikit bantuan diterima.
“Saya turut dibantu oleh ibu, adik-beradik dan keluarga mentua termasuk urusan menjaga suami secara bergilir-gilir sekiranya saya berniaga,” katanya.
Fazlina dan anak-anaknya berumur sembilan serta lima tahun kini tinggal di kediaman ibunya di Taman Cempaka Sari.
Sementara itu, Daroyah berkata, beliau simpati dengan nasib menimpa pelumba negara itu yang pernah mengharumkan nama negara sebelum ini.
“Kita datang untuk menziarahi dan melihat keadaan Zamri selepas mengalami penderitaan akibat kemalangan tiga tahun lalu.
“Bagaimanapun, saya mendoakan semoga kesihatan Zamri pulih dengan kadar segera dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Dalam ziarah berkenaan, Daroyah sempat meluangkan masa hampir 45 minit sambil memberikan pelbagai penerangan mengenai manfaat disediakan Kerajaan Negeri.
Terdahulu, Zamri Baba merupakan pelumba terkenal negara terbabit insiden ngeri pada perlumbaan pusingan dua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Sentul, Indonesia, pada 7 Jun 2015.
Zamri ketika itu beraksi dalam kelas perdana, SuperSport 600cc dan merupakan pelumba terbaik negara di perlumbaan membabitkan negara Asia itu terjatuh ketika pusingan keempat serta dirempuh pelumba di belakangnya.