Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PAKATAN tekad bangun Selangor negeri penyayang – Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 6 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) bertekad untuk terus membangunkan Selangor sebagai negeri penyayang dan peduli rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAKATAN juga akan terus membela nasib semua kaum dan agama.

“Kita bukan sahaja mahu membangunkan Selangor dalam bidang industri tetapi sebagai negeri penyayang dan peduli rakyat.

“Semua pihak akan merasainya, pegawai kerajaan, veteran angkatan tentera, polis, pemandu teksi dan seluruh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, mandat 10 tahun diberikan rakyat sebelum ini, sudah digunakan dengan sebaiknya.

“PAKATAN laksana tugas dengan jujur dan berintegriti, peduli rakyat, aman dan makmur.

“Hari ini mahu tak mahu, walaupun UMNO serang tetapi mereka lupa Selangor merupakan penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 23 peratus,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 42 Insiatif Peduli Rakyat dilaksanakan di Selangor sejak 2008.

Program malam ini turut dihadiri, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.