OLEH HAFIZAN TAIB
AMPANG, 6 MEI: Rakyat perlu menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) dan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) kerana BN tidak relevan lagi untuk mentadbir negara ekoran ketiadaan pemimpin berwibawa.
Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk melantik Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai menteri adalah bukti jelas merujuk perkara berkenaan.
“BN ternyata tidak relevan lagi untuk disokong rakyat kerana cadangan itu menggambarkan tiada pemimpin berwibawa di dalam Umno.
“Rakyat telah menolak Shahrizat dalam PRU tetapi masih mahu diberi tempat dan ia menggambarkan tahap kualiti pemimpin dimiliki BN,” katanya kepada SelangorKini.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata demikian sebagai respon kepada cadangan Ahmad Zahid untuk melantik Ketua Wanita Umno itu sebagai salah seorang menteri Kabinet sekiranya BN meraih dua pertiga majoriti undi dalam PRU14.
Beliau seterusnya berkata, ketiadaan pemimpin wanita berwibawa dalam BN khususnya Umno memang terbukti apabila kementerian berkaitan wanita pernah diterajui sementara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Rakyat perlu membuat keputusan menyokong PAKATAN dalam PRU nanti untuk satu perubahan lebih baik dalam pentadbiran negara berbanding BN yang penuh masalah.
“PAKATAN telah membuktikan kemampuan mentadbir di peringkat negeri dengan pemimpin berkualiti bagi membela nasib rakyat,” katanya.
Shahrizat antara pemimpin BN yang pernah dipalit kontroversi iaitu dalam kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) membabitkan suaminya, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, selaku Pengerusi Eksekutif syarikat berkenaan.
=EZY=