OLEH NADIAH ZAMLUS
KLANG, 1 MEI: Pengundi dinasihatkan supaya keluar lebih awal pada hari mengundi, 9 Mei akan datang.
Calon N42 Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, ia bagi mengelakkan pengundi hantu menggunakan nombor kad pengenalan yang telah berdaftar sebagai pengundi sah.
“Saya nasihatkan kepada semua pengundi Bukit Kapar dan di luar sana, datang ke pusat mengundi pada awal pagi, jangan lengahkan masa anda, sekiranya sudah mengundi, nombor kad pengenalan akan terus dipotong sekaligus mengelakkan pelbagai kemungkinan lain berlaku.
“Jika ada kawan yang belum mengundi pada hari tersebut, ajak mereka datang bersama lebih awal, ingat peluang ini tidak datang selalu, gunakanlah sebaiknya demi negara,” katanya ketika Ceramah Jelajah Harapan Sementa di Bukit Kapar malam tadi.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu berkata, Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) adalah peluang terbaik pengundi untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Katanya, PAKATAN bertekad mahu menawan Putrajaya bagi membolehkan hasil bumi negara ini dinikmati seluruh rakyat.
“Kita ada hasil yang banyak termasuk minyak sawit, minyak mentah, tetapi hasilnya tidak diagihkan sama rata kepada rakyat, hasil negara cukup banyak tetapi Malaysia tidak mampu jadi seperti Singapura.
“Selangor, negerinya kecil, tetapi belanjawannya mampu memberi pelbagai kemudahan kepada penduduknya, bayangkan jika kepimpinan sama seperti di Selangor mentadbir Putrajaya, tidakkah rakyat suka?,” katanya.
Mohd Fakhrulrazi kali ini bertanding bagi merebut kerusi yang disandang bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman dalam pertembungan sengit lima penjuru di DUN Meru (N42).
=EZY=