Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Lebih 20,000 tentera, polis undi awal pagi ini

KUCHING, 14 Dis (Bernama) — Pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12) yang melibatkan anggota dan pegawai polis serta tentera dan pasangan bermula 7.30 pagi ini.

Ia melibatkan 12,585 anggota dan pegawai tentera serta pasangan, dan 10,458 anggota serta pegawai polis dan pasangan.

Pengundian itu dijangka dilaksanakan sehingga 5 petang ini.

Sejumlah 349 calon bersaing dalam PRN12 dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh pengundian pada Sabtu ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: 10,458 anggota polis, pasangan undi awal esok

KUCHING, 13 DIS: Seramai 10,458 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 esok, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Katanya 85 pusat pengundian awal dengan 111 saluran akan dibuka mulai 7.30 pagi hingga 5 petang dengan 5,522 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan serta memastikan proses pengundian awal esok berjalan dengan lancar.

“Pusat mengundi awal terdiri daripada dewan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu pejabat Daerah (IPD), rumah-rumah persatuan keluarga polis, pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan juga sekolah-sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi undi pos pula menurutnya, jumlah permohonan bagi pihak polis adalah sebanyak 1,200 dengan 705 telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mancha berkata pihak polis telah mengeluarkan enam kompaun kepada pihak-pihak yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021), dengan kompaun terkumpul berjumlah RM31,000.

Beliau berkata polis telah membuka 39 kertas siasatan bagi tempoh 30 Nov lepas hingga semalam, di samping menerima 1,837 permohonan bagi mendapatkan permit polis untuk berkempen secara fizikal daripada parti serta calon-calon yang bertanding.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Undi awal selesai, 89.9 peratus tunai tanggungjawab

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi awal esok saksikan SOP ketat pada PRN Melaka

MELAKA, 15 NOV: Esok merupakan antara hari penting bagi proses pilihan raya negeri (PRN) Melaka apabila 11,557 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA).

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah pengundi awal terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

PPA membabitkan 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuka pukul 8 pagi dan akan ditutup 2 petang melibatkan 21 PPA dan 10 PPA lagi akan ditutup pukul 5.30 petang.

Antara lokasi pusat pengundian ialah di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah serta Sekolah Kebangsaan Kem Terendak I dan II.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di sebelah pagi di satu dua tempat di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah manakala Jasin hujan di satu dua tempat di sebelah pagi dan ribut petir di sebelah petang.

Terdapat empat slot waktu kehadiran untuk mengundi dan pengundi boleh menyemaknya di aplikasi mySPR Semak atau Portal Semakan Daftar pemilih SPR.

Waktu yang ditetapkan adalah 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang.

Proses pengundian awal akan menyaksikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mematuhi Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara kerana situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan di pusat-pusat pengundian tersebut selain perlu mengimbas kod respon pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PPA.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan oleh SPR pengundi perlu menggunakan pensanitasi tangan di tiga stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran dan di hadapan Kerani Pengundian.

Pengundi yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas akan diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di tempat khas (khemah khas untuk memangkah).

Seterusnya dakwat ditandakan di jari telunjuk kiri pengundi menggunakan berus yang dipakai buang bagi setiap pengundi bergejala.

Pengundi kemudiannya wajib memakai pelitup muka berganda dan sarung tangan getah pakai buang sebelum memegang kertas undi dan ke petak mengundi di dalam khemah khas untuk memangkah undi.

Petugas yang terlibat mengendalikan individu bergejala hendaklah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan serta memakai pakaian perlidungan diri (PPE) lengkap dengan penutup hidung dan mulut, apron, pelindung muka dan sarung tangan sepanjang mengendalikan individu berkenaan.

Petugas perlu membuat sanitasi tangan sekerap mungkin (sambil memakai sarung tangan) setiap kali berurusan pengundi bergejala.

Pembersihan dan sanitasi petak mengundi perlu dilakukan setiap kali pengundi yang bergejala selesai menanda kertas undi masing-masing.

Pengundi berkenaan akan diiuruskan dengan bantuan pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut selepas selesai mengundi.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding dan SPR akan menyiarkan proses pengundian itu secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR.

Sementara menunggu proses pengiraan pada 20 Nov ini, kertas undi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis.

Dengan selesainya proses pengundian awal nanti, tumpuan akan tertumpu pada hari pengundian yang dijadualkan pada 20 Nov ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: Undian polis, tentera bermula 8 pagi ini

KOTA KINABALU, 22 SEPT: Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sabah bermula 8 pagi ini bagi membolehkan 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing di 55 pusat mengundi di seluruh negeri.

Proses pengundian awal itu berlangsung sehingga 5 petang ini.

Pusat pengundian awal termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Teluk Sepanggar dan Kem Lok Kawi.

Pengundi perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencegah penularan Covid-19 seperti memakai pelitup muka, saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal dan menggunakan pensanitasi tangan.

Ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR dibenar menyaksikan proses pengundian awal itu, yang akan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Keluar mengundi awal!

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 1 MEI: Pengundi dinasihatkan supaya keluar lebih awal pada hari mengundi, 9 Mei akan datang.

Calon N42 Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, ia bagi mengelakkan pengundi hantu menggunakan nombor kad pengenalan yang telah berdaftar sebagai pengundi sah.

“Saya nasihatkan kepada semua pengundi Bukit Kapar dan di luar sana, datang ke pusat mengundi pada awal pagi, jangan lengahkan masa anda, sekiranya sudah mengundi, nombor kad pengenalan akan terus dipotong sekaligus mengelakkan pelbagai kemungkinan lain berlaku.

“Jika ada kawan yang belum mengundi pada hari tersebut, ajak mereka datang bersama lebih awal, ingat peluang ini tidak datang selalu, gunakanlah sebaiknya demi negara,” katanya ketika Ceramah Jelajah Harapan Sementa di Bukit Kapar malam tadi.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu berkata, Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) adalah peluang terbaik pengundi untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Katanya, PAKATAN bertekad mahu menawan Putrajaya bagi membolehkan hasil bumi negara ini dinikmati seluruh rakyat.

“Kita ada hasil yang banyak termasuk minyak sawit, minyak mentah, tetapi hasilnya tidak diagihkan sama rata kepada rakyat, hasil negara cukup banyak tetapi Malaysia tidak mampu jadi seperti Singapura.

“Selangor, negerinya kecil, tetapi belanjawannya mampu memberi pelbagai kemudahan kepada penduduknya, bayangkan jika kepimpinan sama seperti di Selangor mentadbir Putrajaya, tidakkah rakyat suka?,” katanya.

Mohd Fakhrulrazi kali ini bertanding bagi merebut kerusi yang disandang bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman dalam pertembungan sengit lima penjuru di DUN Meru (N42).

=EZY=