Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB tersentuh sokongan rakyat, berat hati tinggalkan Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akui beliau tersentuh dengan sokongan rakyat Selangor sekali gus berat hati meninggalkan negeri itu.

Beliau berkata, Selangor amat dekat di hatinya namun disebabkan tanggungjawab lebih besar kepada negara, jawatan menteri besar terpaksa dilepaskan.

“Saya lihat komen rakyat Selangor terutamanya di media sosial yang tidak mahu melepaskan saya amat tersentuh sama sekali.

“Namun, saya ada tanggungjawab yang lebih besar untuk membantu kepimpinan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis bacaan yasin dan berbuka puasa bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, memandangkan Selangor amat dekat di hatinya, beliau tidak akan mensisihkan negeri ini.

“Saya akan terus membantu Kerajaan Negeri dan akan menggunakan kementerian ini untuk membangunkan Selangor.

“Selepas berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, saya bersetuju terima pelantikan selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Tetapi, pada masa sama, saya akan terus membantu Kerajaan Negeri untuk bangunkan Selangor kerana ia amat dekat di hati saya,” katanya.

Malah, Mohamed Azmin berkata, beliau akan menggunakan kementeriannya untuk membangunkan Selangor kerana negeri itu merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya sudah berbincang dengan Tun Mahathir, sebelum ini kita sumbang 23 peratus tetapi yang disumbangkan semula terlalu kecil.

“Jadi, saya fikir Kerajaan Negeri yang sama dengan Kerajaan Persekutuan kini kita mampu untuk lonjakkan lagi pembangunan di Selangor,” katanya.