Categories
SELANGOR

Najwan mahu tingkat taraf hidup golongan belia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SAHAH ALAM, 8 MEI: Calon Kota Anggerik, Najwan Halimi bersedia membawa suara anak muda ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya menang kawasan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Najwan berkata, suara anak muda penting untuk didengar kerana mereka adalah pemangkin yang akan membangunkan masa depan negara.

“Ini adalah hasrat saya untuk Kerajaan Negeri dengar aspirasi anak muda antaranya melibatkan bidang pendidikan kerana masih ramai anak muda di Kota Anggerik yang masih tercicir dari sudut akademik dan kerjaya.

“Peluang pekerjaan terhad juga antara faktor ramai masih mengangur, sebab itu perlu ada inisiatif atau dasar baru untuk kita bantu memberdayakan ekonomi.

“Kita akan rangka pelbagai inisiatif sebagai dorongan membantu anak muda mengembangkan kreativiti mereka di negeri ini agar dapat meningkatkan taraf hidup yang sering dibelenggu akibat kos yang semakin meningkat namun pendapatan yang kecil,” katanya kepada Selangor kini.

Dalam pada itu, Najwan berkata, hasratnya tidak terhenti disitu, beliau juga akan memfokuskan isu-isu pembangunan wanita dan kemasyarakatan.

“Saya akan meneruskan legasi penyandang di sini iaitu Yaakob Sapari yang cemerlang. Beliau banyak membantu saya untuk lebih mengenali masyarakat di Kota Anggerik dan berkongsi ilmu pembangunan serta program yang perlu di pandang serius,” katanya.