OLEH HAFIZAN TAIB
BATU CAVES, 4 MEI: Selangor mencapai kemajuan menerusi pentadbiran penuh kebertanggungjawaban diamalkan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang bersikap adil kepada rakyat.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai negeri maju, Selangor menjadi tumpuan dan didiami masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan agama yang banyak menyumbang kepada kemajuannya.
“PAKATAN yang memikul tanggungjawab mentadbir Kerajaan Negeri melaksanakan prinsip keadilan demi menjaga kepentingan semua bangsa.
“Ini kerana kejayaan diraih hari ini asalah hasil kerja keras rakyat dari pelbagai bangsa termasuk masyarakat Boyan di negeri ini,” katanya ketika menyantuni masyarakat berkenaan di Kampung Boyan, di Wira Damai, di sini, hari ini.
Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, pendekatan diamalkan PAKATAN dalam pentadbiran adalah berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang banyak mendatangkan beban kepada rakyat.
Katanya, BN yang disokong rakyat sekian lama kini berubah dengan pimpinan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melakukan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran negara.
“Sejarah Islam membuktikan apabila pemimpin tidak jujur dan rasuah, maka tamadun itu akan hancur.
“Itu yang sedang kita saksikan pada masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia berbeza di Selangor apabila rakyat dari pelbagai bangsa memainkan peranan dalam kemajuannya.
Katanya, kepelbagaian dan kerencaman berlaku bukan masalah kerana ia menjadi aset kepada asas kejayaan dicatat, di negeri itu.
“Kita berlaku adil kepada semua dan ia menjadi prinsip PAKATAN dengan kita akan terus menegakkan keadilan di bumi bertuah ini dan melakukan ikhsan kepada seluruh rakyat Selangor,” katanya.