Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Putrajaya bakal semak semua projek mega

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan mengkaji semula semua projek mega terutama melibatkan proses perolehan dan pemberian tander.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setiap projek perlu melalui proses tender terbuka yang dilakukan secara telus tanpa lagi mengamalkan rundingan terus.

“Kita akan melihat semula semua projek yang sudah diberikan Surat Setuju Terima (SST) oleh kerajaan terdahulu. Kita akan semak segala keperluan untuk proses penjimatan.

“Projek mega juga akan kita lihat sama ada boleh dilakukan rundingan semula berpandukan kepada undang-undang sedia ada selain projek yang diluluskan secara tergesa-gesa.

“Kita akan berikan tumpuan terhadap projek yang mempunyai kesan langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemua dengan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Menurutnya, hutang negara kini hampir mencecah RM1 trilion dan ia merangkumi hutang keseluruhan negara.

Katanya, EPU mempunyai pasukan yang mantap untuk merangka pelan pembangunan dan melakukan beberapa agenda perubahan menerusi Pelan Hala Tuju Strategik baharu.

Dalam pada itu Mohamed Azmin menjelaskan semakan semula bajet juga akan dilakukan pada September ini.

=EZY=