Categories
SELANGOR

Rakyat perlu beri mandat PAKATAN tadbir Selangor, Persekutuan

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 2 MEI: Rakyat diminta terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor demi kelangsungan hidup dan masa depan lebih baik.

Calon PAKATAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri dipimpin parti itu telah membuktikan kecemerlangan dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama.

“Dalam tempoh sepuluh tahun, Selangor dengan peruntukan terhad berjaya melaksanakan lebih 40 skim kebajikan di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Masyarakat di Lembah Jaya perlu memberi mandat kepada PAKATAN agar kita terus dengan program sedia ada dan kalau kita boleh mentadbir di peringkat Persekutuan pasti kita mampu melakukan lebih lagi,” katanya dalam program bertemu penduduk di Pangsapuri Sri Nilam di sini, semalam.

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, seperti mana DUN lain di bawah PAKATAN, pelbagai ketirisan dilakukan pimpinan Barisan Nasional (BN) perlu dihentikan dengan menukar pentadbiran di Putrajaya demi masa depan semua khususnya generasi akan datang.

Katanya, rakyat hari ini dibebani kos sara hidup tinggi dan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan alasan menjana pendapatan demi pembangunan negara.

“Yang patut buat kerja cari hasil adalah pemimpin dan kerajaan dilantik tetapi sekarang nampaknya rakyat yang kena sumbangkan pendapatan.

“Maka rakyat harus hentikannya dengan memberi mandat kepada PAKATAN di Selangor juga Persekutuan,” katanya.

=EZY=