Categories
SELANGOR

Kesan persempadanan, PAKATAN gesa 85% pengundi keluar mengundi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI : Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) P.110 Klang, Charles Santiago menggesa sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat perlu keluar mengundi pada 9 Mei nanti bagi mengurangkan kesan persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu.

Charles berkata, pengundi PAKATAN tidak sepatutnya berpuas hati dan terlalu yakin bahawa gabungan itu akan memenangi Selangor dan memerintah selama lima tahun lagi.

“Ia kerana kesan persempadanan semula ini amat luas. Sekiranya kita memandang rendah, beberapa kawasan pilihan raya seperti Shah Alam, Kapar dan Pelabuhan Klang berkemungkinan dirampas oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, saya menyeru semua pengundi Selangor terutama dari Klang, Kapar dan Shah Alam keluar mengundi demi mengalahkan taktik kotor dimainkan SPR dan BN ini, tunjukkan kuasa anda sebagai rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Charles berkata, antara contoh persempadanan semula yang memberi kesan besar kepada Klang apabila 4,871 pengundi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan 3,327 pengundi dari DUN Batu Tiga kini dipindahkan ke P.110 Klang.

“Secara keseluruhan, 8,198 pengundi dari kawasan itu yang sebelum ini berada di bawah Parlimen Shah Alam ditambah kepada P.110.

“Manakala, 15,848 pengundi dari kawasan DUN Meru, 7,453 pengundi daerah Sementa dan 9,484 pengundi daerah Selat Kelang turut dipindahkan ke P.110,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan kawasan DUN Sungai Pinang dengan jumlah 32,785 pengundi Parlimen Kapar turut dipindahkan ke P.110, sekali gus menjadikan secara keseluruhan 40,983 pengundi Parlimen Shah Alam dan Parlimen Kapar ditambah kepada P.110.

Di samping itu, Charles berkata, sebahagian besar pengundi dari Bukit Tinggi dan Bandar Botanic yang sebelum ini berada di bawah P.110 kini dipindahkan ke daerah Baru Sentosa dan Parlimen Kota Raja.

“Persempadanan semula ini bermakna majoriti pengundi pro-pembangkang sudah dialihkan ke P.110. DUN Kota Anggerik, Batu Tiga, Meru, Sementa, Selat Klang kini sudah menjadi kerusi parlimen yang memihak kepada BN.

“Malah, kerusi Parlimen Kapar dan Shah Alam juga sudah berubah secara drastik daripada yang berpaling pro-pembangkang kini ke kerusi BN disebabkan persempadanan semula yang tidak memihak ini,” katanya.

Charles berkata, pelbagai helah dilakukan Umno-BN untuk merampas negeri ini antaranya persempadanan semula yang tidak adil dan demokratik serta tarikh mengundi pada hari Rabu.

Katanya, ia sekali gus membolehkan mereka merampas semula dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN di Klang sahaja.

“Oleh itu, saya mendesak pengundi di Selangor buka mata anda dengan luas dan jangan kita dibutakan dengan propaganda Umno-BN,” katanya.

=EZY=