Categories
NASIONAL

Warkah Wan Azizah buat pengundi

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 8 MEI: Pengundi perlu membulatkan tekad dengan memangkah Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi membolehkan sebuah kerajaan yang adil dan benar memerintah negara.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin tsunami rakyat akan melanda negara dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), esok.

“Tepat jam 8 pagi esok, pusat-pusat pengundian akan dibuka di seluruh negara dan proses PRU14 akan dijalankan sehingga jam 5 petang, sesungguhnya pada waktu itu kita berada di persimpangan masa depan negara yang tercinta.

“Tiada siapa dapat menafikan lima tahun kebelakangan ini amat memeritkan sekali. Walaupun kita didendangkan bahawa ekonomi negara berkembang dengan pesat, namun rakyat menderita memikul bebanan kenaikan kos sara hidup dan pelbagai cukai,” katanya.

Tegas Calon P100 Pandan itu, rakyat sudah muak dengan pelbagai skandal yang wujud dari sikap tidak telus pemimpin negara.

Katanya, negara jiran pula telah menggelar Malaysia sebagai ‘Negara Kleptokrat’ yang jelas telah memalukan negara.

“Saya merayu supaya saudara dan saudari menggunakan peluang ini untuk memastikan segala harapan kita menjadi kenyataan.

“Gunakanlah peluang yang diberikan supaya 9 Mei ini terpahat di dalam sejarah sebagai Hari Kemenangan Rakyat,” katanya.