Categories
SUKANKINI

Belgium mula langkah kanan tewaskan Panama 3-0

MOSCOW 19 JUN: Kehebatan individu berjaya memecahkan pertahanan Panama namun bagi jurulatih Belgium, Roberto Martinez kemenangan 3-0 itu mengukuhkan pasukannya yang memburu gelaran Piala Dunia.

Jaringan voli Dries Mertens dua minit pada separuh masa kedua amat penting untuk melegakan tekanan ketika Belgium mencatat tujuh perlawanan pertama Piala Dunia berturut-turut tanpa sebarang gol pada separuh masa pertama.

“Ia memberi anda ruang untuk bernafas,” kata Martinez.

“Saya dapat rasakan pada detik itu, kami menjadi diri sendiri dan lebih mengawal perlawanan.”

Jaringan berganda Romelu Lukaku, yang dibantu Eden Hazard dan Kevin De Bruyne, menamatkan saingan pasukan Amerika Tengah itu pada penampilan pertama di Piala Dunia.

Namun Martinez yang dibawa masuk dua tahun lalu untuk menamatkan era generasi emas The Red Devils yang kurang menyerlah turut memuji komitmen penyerangnya untuk kembali bertahan.

“Tiada perlawanan yang mudah,” kata beliau yang memuji kekebalan pertahanannya ke atas Panama yang akan menentang England dan Tunisia selepas itu.

“Kami agak gementar tetapi saya gembira dengan corak pertahanan kami.

“Anda pastinya lebih berbangga apabila mereka beraksi sebagai satu pasukan dan semua orang menunjukkan kesediaan mereka untuk membantu,” kata jurulatih Sepanyol itu yang berjaya membentuk pasukan dibarisi pemain bintang dengan idea yang pernah digunakan untuk pasukan bawahan seperti Everton dan Wigan Athletic dalam Liga Perdana Inggeris.

“Ia satu detik terbaik untuk membuktikan kematangan. Ia satu detik untuk membuktikan ketenangan dan penyatuan pasukan,” kata beliau.

“Saya gembira dengan komitmen setiap pemain.”

SUMBER: REUTERS