Categories
NASIONAL

KPKT pertimbang laksana konsep Rumah Selangorku di Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 2 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempertimbang untuk melaksanakan dasar perumahan rumah mampu milik Rumah SelangorKu, di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan dasar itu sedang dikaji bagi menilai sebarang bentuk keperluan ke arah pembaikan dasar perumahan baru negara.

Beliau mengakui, dasar Rumah SelangorKu boleh dilaksanakan secara efektif mengikut kesesuaian dasar perumahan sedia ada di Putrajaya.

“Kita akan menyelaraskan semua projek perumahan di peringkat Persekutuan termasuk projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan sebagainya.

“Kementerian bercadang untuk melaksanakan satu skim baru di peringkat Persekutuan dengan mengambil kira keberkesanan program perumahan di negeri lain seperti Rumah SelangorKu.

“Dasar ini akan dikaji bagi menilai keberkesanan model perumahan dasar itu sebelum ia boleh digunapakai di peringkat Persekutuan,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.

Beliau bercakap kepada SelangorKini selepas hadir menyerahkan bantuan sumbangan Aidilfitri daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, pagi ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, pelaksanaan Rumah SelangorKu diperkenalkan pentadbiran Selangor bagi membantu masyarakat memiliki rumah kediaman pertama pada paras harga minima dan mampu milik.

Untuk rekod sehingga Mac lalu, Kerajaan Negeri berjaya membina 25,000 buah rumah walaupun sasaran awal pembinaannya sekitar 15,000.

Pada masa sama, 70 peratus daripada jumlah pembinaan Rumah Selangorku di Selangor dijual pada kadar bawah RM200,000.

Jumlah itu disifatkan pentadbiran Selangor lebih rendah berbanding RM400,000 ketika Barisan Nasional menerajui kepimpinan Putrajaya, di bawah skim PR1MA.

=EZY=