Categories
NASIONAL

KPKT pertimbang laksana konsep Rumah Selangorku di Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 2 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempertimbang untuk melaksanakan dasar perumahan rumah mampu milik Rumah SelangorKu, di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan dasar itu sedang dikaji bagi menilai sebarang bentuk keperluan ke arah pembaikan dasar perumahan baru negara.

Beliau mengakui, dasar Rumah SelangorKu boleh dilaksanakan secara efektif mengikut kesesuaian dasar perumahan sedia ada di Putrajaya.

“Kita akan menyelaraskan semua projek perumahan di peringkat Persekutuan termasuk projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan sebagainya.

“Kementerian bercadang untuk melaksanakan satu skim baru di peringkat Persekutuan dengan mengambil kira keberkesanan program perumahan di negeri lain seperti Rumah SelangorKu.

“Dasar ini akan dikaji bagi menilai keberkesanan model perumahan dasar itu sebelum ia boleh digunapakai di peringkat Persekutuan,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.

Beliau bercakap kepada SelangorKini selepas hadir menyerahkan bantuan sumbangan Aidilfitri daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, pagi ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, pelaksanaan Rumah SelangorKu diperkenalkan pentadbiran Selangor bagi membantu masyarakat memiliki rumah kediaman pertama pada paras harga minima dan mampu milik.

Untuk rekod sehingga Mac lalu, Kerajaan Negeri berjaya membina 25,000 buah rumah walaupun sasaran awal pembinaannya sekitar 15,000.

Pada masa sama, 70 peratus daripada jumlah pembinaan Rumah Selangorku di Selangor dijual pada kadar bawah RM200,000.

Jumlah itu disifatkan pentadbiran Selangor lebih rendah berbanding RM400,000 ketika Barisan Nasional menerajui kepimpinan Putrajaya, di bawah skim PR1MA.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Umno akui kata-kata MB, PR1MA rumah ‘mampu tengok’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 DIS: Kenyataan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bahawa rumah Perbadanan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) hanya rumah ‘mampu tengok’ ekoran harganya tinggi diakui sendiri oleh seorang wakil Puteri Umno pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Ketua Puteri Umno Gerik, Salbiah Mohamed, berkata rumah PR1MA yang bernilai antara RM100,000 hingga RM400,000 hakikatnya tidak mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana.

UMNO BN 55“Ini bukan untuk golongan sederhana sebab itulah, kita selalu dengar orang cakap ‘itu rumah mampu tengok sahaja, yang mampu milik rumah dalam kubur,” kata beliau semasa membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2015.

Salbiah dipercayai merujuk kepada kenyataan Mohamed Azmin yang sering membidas Kerajaan Persekutuan kerana rumah mampu milik ditawarkan Kerajaan Persekutan masih pada harga tinggi sekaligus menyukarkan rakyat memiliki kediaman sendiri.

Mohamed Azmin dalam beberapa program pelancaran rumah mampu milik di bawah program Rumah Selangorku di sekitar Selangor, sambil membidas Kerajaan Persekutan beliau turut beberapa kali mengingatkan Kerajaan Persekutuan tidak menekan rakyat yang ingin membeli rumah sendiri.

Berbanding rumah PR1MA berharga setinggi RM400,000 rumah Selangorku hanya berharga serendah RM42,000 hingga RM250,000 sahaja.

Konsep perumahan Selangorku menyediakan empat jenis rumah iaitu A berharga RM42,000, B (RM120,000), C (RM180,000) dan D (RM220,000 hingga RM250,000).

Selain ditawarkan pada harga mampu milik, Kerajaan Negeri turut membantu pembeli yang tidak memiliki pendapatan tetap, tiada bukti pendapatan dan umur lanjut untuk memohon pinjaman melalui Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku.

Kesungguhan Kerajaan Negeri membantu rakyatnya memiliki kediaman sendiri turut terbukti apabila Kerajaan Negeri turut mengadakan skim sewa beli di bawah skim Dana Sel bagi memudahkan golongan tidak layak membuat pinjaman memiliki rumah sendiri.

EZY