Categories
PBT SELANGOR

MDKL sita kilang sebabkan pencemaran bahan kimia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sudah menyita sebuah premis tidak bernama di Batu 15, Jalan Klang Banting, Kuala Langat yang menyebabkan pencemaran busuk bahan kimia.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, kilang itu menjalankan operasi dan mendirikan bangunan tanpa kebenaran.

“Pengusaha atau pemilik tanah juga dikenakan Notis Kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) seksyen 70 (13) (c) pembinaan tanpa kebenaran yang boleh dikenakan dengan maksimum sehingga RM25,000.

“Selain itu, dikenakan Borang G, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) subseksyen 27 (4) iaitu Notis Menghentikan Pemajuan Dalam Hal Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang yang boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Pengusaha juga dikenakan Notis Kesalahan dibawah UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian (2007) MDKL yang boleh dikenakan denda maksikum RM1,000,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamad Zain berkata MDKL tidak boleh mengambil tindakan terhadap bau busuk pencemaran memandangkan tidak mempunyai kepakaran dan peralatan bagi mengendalikan isu pencemaran bau.

Katanya, pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar yang mungkin boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Baru-baru ini, penduduk di sekitar kawasan perindustrian di Jalan Kling Batu 15, di sini cemas apabila terhidu bau bahan kimia di kawasan itu.

Pasukan bomba bergegas ke kawasan berkenaan dan mendapati cecair ammonia dilepaskan ke dalam parit berhampiran sebuah kilang.

Hasil siasatan, terdapat sebuah kilang dipercayai mengumpul minyak hitam melepaskan cecair berkenaan yang digunakan untuk mencuci peralatan.