Categories
SELANGOR

Media terima akses, tiada sekatan aju soalan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Petugas media diberikan akses bertanyakan sebarang soalan kepada pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri, peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pagi ini.

Langkah itu sekali gus mengenepikan sentimen kononnya pentadbiran Pakatan didakwa tidak lagi mesra media selepas berjaya mentadbir kepimpinan tertinggi Putrajaya.

Antara pimpinan tertinggi Putrajaya yang diajukan soalan daripada pemberita, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Kedua-duanya memberikan akses mudah diajukan soalan daripada pemberita, membabitkan isu-isu semasa negara.

Selain itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut memberikan ruang kepada pemberita mengajukan soalan selepas selesai mengiringi Duli Yang Mah Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang turut hadir pada program rumah terbuka itu.

Lebih istimewa, Dato’ Menteri Besar itu turut memberikan peluang kepada media rasmi Kerajaan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berlintas langsung menerusi slot Berita Nasional Jam 1, di TV1.

Perkembangan positif itu sekali gus mencerminkan keterbukaan pimpinan Pakatan Harapan Persekutuan dan Negeri dalam mengangkat amalan kebebasan media, sebagaimana yang diperjuangkan gabungan itu sebelum ini.

Berbanding keadaan sebelumnya di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang jarang bertemu media dalam program-program rasmi Kerajaan Malaysia.

=EZY=