Categories
AGAMA SELANGOR

Singgah Sahur LZS santuni kakitangan bertugas malam

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 9 JUN: Lebih 200 bungkus juadah bersahur berjaya diagihkan kepada agensi kerajaan yang bertugas malam, maahad tahfiz dan rumah anak yatim Tunas Harapan.

Menerusi laman Facebook, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan, program terbabit memberi tumpuan kepada petugas yang bekerja pada sebelah malam iaitu dalam kalangan penjawat awam dan agensi kerajaan yang menjaga keamanan serta keselamatan daerah itu.

“Program ini berkonsepkan singgah dan bermesra dengan mereka yang menjalankan tanggungjawab bekerja, pada sebelah malam.

“Pada masa sama, kita meraikan mereka dengan mengagihkan juadah bersahur.

“Selain itu, kakitangan LZS berpeluang mendekatkan diri dengan masyarakat setempat, sekali gus merapatkan hubungan silaturahim serta memupuk nilai murni,” katanya.

LZS berkata, program itu bermula seawal jam 1.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 pagi membabitkan lebih 20 peserta.

“Program ini adalah anjuran bersama antara Zakat Selangor dan Biro Agama, Kelab Sukan dan Kebajikan Pejabat Daerah Kuala Selangor.

“Semoga dengan penganjuran program ini, ia dapat merapatkan ukhuwah dan kerjasama antara masyarakat serta agensi kerajaan dengan LZS,” katanya.