Categories
NASIONAL

Akta Kanak-Kanak diperkukuh kurangkan risiko kemalangan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menambah baik Akta Kanak-Kanak bagi mengurangkan risiko kemalangan dan mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sistem daftar kanak-kanak sedia ada akan diperkasakan bagi memastikan sebarang pekerjaan yang melibatkan urusan kanak-kanak termasuk pengasuh disaring selain bekerjasama dengan Polis.

“Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) sedia ada hanya mendaftarkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang menjaga empat orang kanak-kanak dan berumur empat tahun ke bawah.

“Pengasuh yang mengambil kurang empat kanak-kanak tidak termaktub dalam akta itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan mensasarkan semua agensi kerajaan mewujudkan Taska masing-masing khususnya yang melibatkan kerja secara syif.

Katanya, pihak kementerian juga mahu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan Taska di sekolah-sekolah bagi kemudahan guru.

“Bagi sektor awam, subsidi yuran pengasuhan TASKA di tempat kerja sebanyak RM180 sebulan bagi seorang anak kepada pegawai perkhidmatan awam yang pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan disediakan berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 38 Tahun 2013.

“Bagi sektor majikan swasta pula, insentif pelepasan cukai boleh dituntut dari Kerajaan mengikut pekeliling Jabatan Hasil Dalam Negeri bertarikh 15 Februari 1996 yang mana pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyenggaraan bangunan bagi penyediaan TASKA.

“Selain itu. Bengkel Pindaan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Akta 308) telah pun diadakan pada 11 Julai 2018 bagi memantapkan kawal selia TASKA di seluruh Malaysia,” katanya.