Categories
SELANGOR

Laluan Bas Smart Selangor DUN Sungai Tua ditambah

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 14 JUL: Perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bakal ditambah di beberapa jajaran baru.

Dato Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkhidmatan laluan baru itu membabitkan beberapa kawasan dan dijangka bermula menjelang akhir tahun ini.

“Saya akan tambah laluan Bas Smart Selangor di Sungai Tua untuk kemudahan penduduk di Wira Damai, Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana sampailah ke Stesyen Batu Caves.

“Kemudahan ini dilaksanakan melalui peruntukan DUN Supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemajuan dan pembangunan di Selangor,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri DUN Sungai Tua itu berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Majlis Kesyukuran DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin berkata, laluan baru itu membabitkan pertambahan sebuah bas dan kos keseluruhan sebanyak RM300,000.

Katanya, ketika ini proses pertambahan laluan baru itu berada di peringkat akhir dengan melibatkan rundingan berkenaan jajaran baru.

“Sekarang di peringkat terakhir perlu diselesaikan disebabkan ada beberapa pihak ingin taja dan kita nak selesaikan isu tajaan itu, mungkin kos daripada Pusat Khidmat DUN tidak perlu banyak,” katanya.

Katanya lagi, ADN lain turut boleh mengemukakan cadangan untuk menambah laluan baru di kawasan masing-masing.

=EZY=