Categories
PBT SELANGOR

MPSJ anjur forum bicara Ad-Deen, amalan terbaik Jepun

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 28 JUL: Bersempena dengan penganjuran program persahabatan antara Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Hioki City, MPSJ mengadakan Forum Bicara Ad-Deen dan Kampung Seri Aman Berselawat, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik​​ MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, ia bermatlamatkan pembentukan masyarakat madani selaras dengan Teras 5, Perancangan Strategik MPSJ 2012-2030.

“Istimewanya pada penganjuran kali ini, ianya dilaksanakan bersempena dengan Program Persahabatan di antara Majlis Perbandaran Subang Jaya dan juga Hioki City.

“Pada kali ini, pMPSJ akan menerima seramai 8 delegasi dari Hioki City bermula 25 – 31 Julai 2018.

“Bersempena dengan program itu, MPSJ mengambil kesempatan untuk menganjurkan Forum Bicara Ad-Deen dengan mengambil aspek amalan terbaik masyarakat Jepun sebagai topik yang akan dibicarakan melalui tajuk “Nilai-Nilai Islam Subur di Negara Matahari Terbit”,” katanya.

Azfarizal berkata, forum itu mendapat kerjasama dari pelbagai pihak seperti Ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPSJ, pihak Masjid Kampung Seri Aman serta Alumni Look East Policy Society (ALEPS).

Pada masa sama, katanya, turut diadakan sesi penyerahan lapan anak angkat kepada keluarga angkat serta sesi memperkenalkan keluarga angkat kepada penduduk Kampung Seri Aman.

“Kesemua anak angkat akan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing bermula 27 Julai sehingga 30 Julai di mana mereka akan sama-sama berkongsi dan mempelajari kebudayaan kedua-dua negara,” katanya.

Di samping panel jemputan yang terdiri daripada Dr Shauqi Othman, Ustaz Raihan Abd Aziz serta Ustaz Idzhar Jumali.

Turut disusun adalah perkongsian ilmu oleh delegasi daripada Hioki City tentang amalan terbaik dari aspek akhlak, kebersihan, kesihatan dan pengetahuan masyarakat Jepun.

Untuk rekod, Program Bandar Persahabatan bermula sejak 28 Ogos 2015, di mana pihak MPSJ menandatangani MOU persahabatan di antara MPSJ dan Hioki.

Semenjak terjalinnya hubungan itu, setiap tahun pihak Hioki akan menghantar penduduknya untuk melawat MPSJ serta menjalinkan hubungan kekeluargaan dengan penduduk setempat melalui program anak angkat .