Categories
SELANGOR

Pemaju kilang tiada lesen sah berdepan tindakan tegas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LANGAT, 25 JUL: Tindakan tegas bakal dikenakan terhadap pemaju kilang di negeri ini yang beroperasi secara haram.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kami amat prihatin dan memandang serius isu pencemaran, kerana ia memberi impak negatif terhadap rakyat, terutama mengancam masalah kesihatan.

“Justeru, dalam perjumpaan itu pihak kami berbincang mengenai tindakan sewajarnya diambil terhadap kilang dan premis kitar semula plastik yang mencemarkan alam sekitar.

“Pertemuan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah diadakan bagi mendapatkan satu arah tuju, juga pendekatan lebih menyeluruh berkenaan isu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Operasi Bersepadu Kilang Haram MDKL, di Dewan Orang Ramai Jenjarom, di sini, petang semalam.

Turut hadir, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.

Pada masa sama, Ng berkata, pemantauan operasi kilang yang berlesen tetap dilaksana bagi memastikan kilang terbabit beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Arahan akan diberi kepada pemilik tanah yang menyewa tanah mereka kepada pengusaha kilang kitar semula plastik.

“Kami menggesa pemilik tanah supaya memberi kerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk tidak menyewa tanah kepada pengusaha yang menjalankan kegiatan mencemarkan alam sekitar.

“Sekiranya perkara ini didapati berlaku, rampasan tanah akan dikenakan,” katanya.