Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor galak pelabur bantu kembang bakat TVET

OLEH SHEEDA FATHIL

PUNCAK ALAM, 29 JUL: Kerajaan Negeri menggalakkan pelabur asing untuk mengembangkan bakat masyarakat tempatan terutamanya berkelulusan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain membantu daripada segi pertukaran teknologi.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, beliau optimis syarikat asing dapat bersama membantu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan khususnya untuk menyediakan kerja dengan persekitaran kondusif kepada masyarakat tempatan.

“Kita mahu bakat masyarakat tempatan yang berkelulusan TVET terutamanya dapat ditingkatkan dan kemasukan pekerja asing pula diminimakan.

“Berikan latihan praktikal dan usahawan dalam masa tiga hingga empat tahun, sekali gus mereka akan menjadi ejen anda dalam mempromosikan produk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Persidangan Kerjasama Industri Basikal Malaysia-China bertempat di Dewan Aktiviti Eco Grandeur, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rodziah memuji inisiatif kerjasama antara Malaysia dan China dalam mengembangkan industri basikal di negara ini.

“Dengan Malaysia Baharu ini, kita akan terus menyediakan persekitaran perniagaan yang sihat dan sistem eko untuk syarikat Malaysia dan asing menjalankan perniagaan di sini.

“Kita akan terus menggalakkan dan memudahkan syarikat asing untuk datang dan melabur di Malaysia terutama di Selangor dan bekerjasama dengan syarikat tempatan di sini untuk usaha yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, Selangor sudah mencatatkan kehadiran tertinggi bagi pelaburan langsung asing di Malaysia.

“Tahun lepas, Selangor menarik RM5.59 bilion pelaburan langsung dalam sektor perkilangan, serta RM4 bilion dalam sektor perkhidmatan.

“Sektor perkhidmatan dan perkilangan menyumbangkan 59.5 peratus dan 29.5 peratus kepada keluaran dalam negeri kasar Selangor pada 2017,” katanya.