Categories
NASIONAL

Sistem tender terbuka untuk projek kerajaan

ALOR SETAR, 7 JUL: Kerajaan akan menggunakan sistem tender terbuka dengan meluas dan telus bagi projek kerajaan terutama yang berskala besar agar setiap sen wang rakyat dapat dibelanja dengan baik, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Ini kerana kerajaan membelanjakan lebih RM100 bilion setahun untuk perolehan melalui pelbagai projek dan kontrak dan ia adalah satu jumlah yang agak besar.

“Dengan jumlah yang begitu besar amat penting supaya tidak berlaku pembaziran dan menjadi kewajiban kerajaan untuk sentiasa memastikan wang ini dibelanjakan secara berhemah.”

“Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah baik sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan demi memastikan ia lebih berdaya saing dan seterusnya menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata kementerian menyasarkan penggunaan sekurang-kurangnya Tahap 2 Building Material Information (BIM) pada tahun hadapan bagi projek kerajaan bernilai lebih RM100 juta sejajar dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).

SUMBER: BERNAMA