Categories
NASIONAL

Tun Mahathir hargai Jepun sedia pertimbang pinjaman mudah

PUTRAJAYA 12 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghargai sikap Jepun yang sedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk mendapatkan bantuan pinjaman mudah yang kini sedang dikaji oleh negara itu.

Hal itu disampaikan oleh Menteri Luar Jepun, Taro Kono kepada Mahathir ketika Kono melakukan kunjungan hormat ke atas beliau di Perdana Putra di sini hari ini.

Kono kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Selasa.

Semasa melawat Jepun bulan lepas, Mahathir telah memohon pinjaman yen dari Jepun dalam bentuk pinjaman mudah dan rakan sejawatannya Shinzo Abe memberitahunya akan mempertimbangkan permohonan itu.

Sebahagian daripada pinjaman itu dijangka digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutang lama untuk menyeimbangi kos pinjaman yang tinggi.

Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat Kono itu hari ini berkata, Mahathir amat berpuas hati dengan hasil perbincangannya dengan Abe di Tokyo pada 12 Jun lepas di mana kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk memperkasa dan memperkukuhkan semula Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan pada 1982.

SUMBER: BERNAMA