Categories
SELANGOR

Zawawi tak sangka dicalonkan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUL: Calon N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tidak menyangka dirinya dicadangkan sebagai calon mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

Timbalan Pengerusi dan Imam Masjid An Naim Jalan Kebun itu bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti khususnya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memberi kepercayaan kepada beliau.

Justeru, beliau menafikan dakwaan bahawa beliau melobi dirinya sendiri sehingga berjaya menjadi calon dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

“Rakan-rakan yang mencadangkan dan mengetengahkan nama saya untuk dicalonkan mewakili KEADILAN.

“Menjadi calon bukan mudah tetapi selepas mempertimbangkan dan berfikir panjang saya bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat Dun Sungai Kandis, di Padang Jalan Kebun, di sini.

Mohd Zawawi berkata, beliau mempunyai komitmen kepada masyarakat kawasan itu dan bergerak ke depan berdasarkan sokongan diberikan.

“Antara isu setempat yang akan saya beri tumpuan adalah isu banjir dan kemudahan awam,” katanya yang juga merupakan┬áSetiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) serta AJK Biro Pendidikan PKR di peringkat pusat.