Categories
NASIONAL

Cari kaedah baru pembersihan kebun elak kebakaran besar

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 OGOS: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung kaedah baru bagi membolehkan pembersihan kebun secara mesra alam dilaksanakan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, hal itu bagi mengelakkan kebakaran besar berlaku ketika petani membuat pembersihan kebun.

“Selain kaedah baru, program pendidikan secara berterusan juga perlu diterapkan kepada petani.

“Kita mahu satu teknologi yang mesra alam dihasilkan membolehkan petani tidak perlu membakar bagi melakukan pembersihan kebun.

“Pada masa sama juga dengan adanya langkah-langkah baru nanti, ia juga tidak menjejaskan sumber pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB dan kawasan kebakaran tanah gambut Johan Setia, di sini.

Isnin lalu, kira-kira 50 hektar kawasan tanah gambut di kawasan Johan Setia terbakar menyebabkan penduduk tidak senang ekoran menghidu asap tebal.

Sementara itu, Bee Yin berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan akan mengadakan dialog bersama penduduk dan ‘stakeholders’ bagi membincangkan masalah kebakaran di tanah gambut di kawasan itu.

Katanya, kebakaran yang sering berlaku itu berlarutan sejak 15 tahun lalu.

“Saya akan mengadakan dialog dan mesyuarat bersepadu diadakan dengan semua pihak termasuk pemilik kebun mencari penyelesaian supaya insiden ini tidak berulang lagi.

“Setiap tahun kita dengar masalah yang sama. Perkara membabitkan kesihatan tidak boleh dipandang mudah, saya mahu semua pihak tangani isu ini secara serius,” katanya.

Beliau memberi jaminan untuk menyelesaikan insiden berskala besar seperti itu tidak berulang dan pemantauan akan diadakan berterusan.

“Saya juga akan turun ke lokasi ini setiap hari untuk melihat sendiri perkembangan kerja-kerja pemadaman api,” katanya.