Categories
SELANGOR

Halimey jamin wanita berpeluang kerja sambilan di rumah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 20 OGOS: Golongan wanita, khususnya kaum ibu akan diberi jaminan mendapat peluang membuat kerja sambilan di rumah bagi menambah pendapatan keluarga, kata Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Beliau berkata, kerjasama rapat akan dijalinkan bersama Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kementerian Pembangunan Usahawan, Hijrah Selangor serta Unit Perancang Ekonomi Negeri bagi pembangunan ekonomi penduduk setempat.

“Usaha akan digandakan bagi membantu mereka khususnya membabitkan sektor hiliran dalam industri pakaian dan jahitan serta makanan sejuk beku.

“Selain itu, kaum wanita yang terdiri daripada golongan B40 juga akan sentiasa diberi keutamaan sebagai penerima manfaat menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat yang disalurkan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PAKATAN.

“Mereka juga akan didatangi dan disantuni secara kerap supaya manfaat program IPR seperti kad KISS dapat dinikmati sepenuhnya tanpa ada yang tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Halimey turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PAKATAN kerana memberikan kepercayaan kepadanya meneruskan legasi kecemerlangan Selangor, di DUN Seri Setia.

“Dengan hanya mengundi PAKATAN yang menjadi parti pemerintah berintegriti sahaja dapat menyempurnakan hasrat dan citarasa rakyat.

“Jika diberi mandat, saya akan memikul amanah itu sebaiknya dan sedaya upaya saya dengan iltizam yang ditanam dalam diri saya,” katanya.

PRK DUN Seri Setia bakal diadakan pada 8 September ini selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, pada 2 Ogos lalu ekorana barah usus.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Allahyarham Shaharuddin menang dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.