Categories
PBT SELANGOR

Laporan Ketua Audit Negara iktiraf Indeks Akauntabiliti MPAJ cemerlang

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 20 OGOS: Laporan Ketua Audit Negara 2017 mengiktiraf Indeks Akauntabiliti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada tahap lima bintang dengan markah 93.92 peratus.

Yang Dipertua (YDP) MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, pengiktirafan tersebut adalah mengikut Prestasi Pengurusan Kewangan Tahun 2017.

“Pengiktirafan ini diterima melalui Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017, SIRI 1 bagi pengurusan aktiviti, kewangan, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat Kerajaan Negeri Selangor pada 12 Jun 2018.

“Tahniah kepada semua yang berusaha sekaligus membolehkan MPAJ menerima pengiktirafan besar berkenaan,” katanya ketika ucapan Mesyuarat Penuh MPAJ di Menara MPAJ, hari ini.

Indeks Akauntabiliti MPAJ itu diiktiraf keempat terbaik di antara agensi Kerajaan Selangor, sementara itu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mendapat markah tertinggi iaitu 97 peratus.

Sementara Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan markah 94.72 peratus, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), 94.46 peratus.

Abd Hamid berkata, MPAJ juga menerima Sijil Bersih Penyata Kewangan MPAJ kali ke 15 berturut-turut oleh Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan pada 20 Julai 2018.

Katanya, audit mengambil beberapa skop antaranya mengenalpasti dan menilai risiko salah nyata dalam penyata kewangan MPAJ.

“Audit turut melihat kawalan dalaman yang relevan serta menilai dasar kewangan yang digunapakai, kemunasabahan anggaran perakaunan dan pendedahan berkaitan ahli majlis.

“Difahamkan audit turut menilai samaada keseluruhan pendedahan penyata kewangan MPAJ memberi gambaran yang saksama,” katanya.