Categories
SELANGOR

MB: Keputusan positif buat KEADILAN, sokongan rakyat terus kekal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 OGOS: KEADILAN berpuas hati dengan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis walaupun memperoleh majoriti 5,842 undi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata perkara paling penting adalah sokongan rakyat masih kekal kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Negeri Selangor serta keputusan positif buat KEADILAN.

“Secara asas kita berpuas hati dengan prestasi semasa sebab ini PRK dan majoriti undi akan ditentukan dengan peratusan keluar mengundi.

“Kadar (peratusan) keluar mengundi rendah berbanding PRU-14 kerana tempoh masa terlalu hampir.

Sumber Grafik: BERNAMA

“Paling penting tiada semangat daripada pengundi untuk menjatuhkan Kerajaan berbanding sebelum ini (PRU-14),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengumuman rasmi keputusan PRK di Pusat Penjumlahan Rasmi PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam.

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada semua jentera KEADILAN yang bertungkus-lumus sepanjang 14 hari tempoh berkempen termasuk kehadiran rakan komponen PAKATAN yang menjayakan siri kempen dan ceramah.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengekalkan kerusi Sungai Kandis di bawah penguasaan KEADILAN selepas menang dengan majoriti 5,842 undi.

Beliau yang memperoleh 15,427 undi menewaskan dua lagi calon, Datuk Lokman Noor Adam mewakili Barisan Nasional yang mendapat 9,585 undi manakala seorang lagi calon, K Murthy mewakili BEBAS, sekadar memperoleh 97 undi.