Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Sasar 30,000 unit rumah SelangorKu bakal dibina

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang akan membina lagi sebanyak 30,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perkara itu diumumkan Dato Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapannya pada Majlis Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 bertempat di Holiday Inn Glenmarie, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, cadangan itu dibuat selepas pembentukan Kerajaan Persekutuan yang sealiran dengan Kerajaan Negeri serta kolaborasi pintar antara agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan pemaju industri perumahan.

“Dasar Rumah SelangorKu mula diperkenalkan pada 1 Januari 2014 dan ia sudah mencapai sasaran ditetapkan dalam mencapai objektif memperbanyakkan penyediaan rumah mampu milik lebih berkualiti serta selesa pada harga mampu milik antara RM42,000 hingga RM250,000 seunit.

“Kini, usaha dimainkan Kerajaan Negeri mendapat sambutan menggalakkan dan kita komited meneruskan usaha ini demi memberdaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Sehubungan itu, mengulas mengenai aspek pengurangan kos pembinaan pula, Amirudin berkata, penggunaan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) dan konsep pembinaan pasang siap perlu diperhebatkan lagi untuk pembinaan rumah mampu milik.

“Menerusi kaedah ini, kos pembinaan dijangka mampu menjimatkan sehingga 25 peratus berbanding kaedah konvensional.

“Namun, Kerajaan Negeri menyedari kaedah ini hanya ekonomik daripada aspek kos sekiranya mempunyai kuantiti besar untuk sesuatu projek. Oleh itu, suatu dasar khusus di peringkat negeri perlu dirangka bagi menterjemahkan hasrat tersebut,” katanya.