Categories
SELANGOR

MDKL harap Ahli Majlis beri khidmat terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 1 OGOS: Setiap Ahli Majlis dilantik diharap dapat menyumbang komitmen bersama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat seiring misi dan visinya.

Yang Dipertuannya, Mohamad Zain A Hamid berkata, setiap ahli majlis perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai peranan MDKL bagi meneruskan dasar kerajaan dalam mensejahterakan penduduk.

“Ini kerana Ahli Majlis adalah individu paling hampir dengan rakyat dan pengantara antara MDKL dengan penduduk setempat.

“Setiap daripada mereka perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai dasar, peraturan dan undang-undang MDKL dan ia akan memudahkan urusan apabila ahli majlis bertemu dan mendengar mengenai permasalahan penduduk,” katanya di sini, hari ini.

Majlis pelantikan Ahli Majlis membabitkan 24 individu dengan 12 daripadanya adalah muka baharu manakala satu kekosongan yang tinggal akan diputuskan Kerajaan Negeri selepas ini.

Upacara pelantikan itu dketuai Mohamad Zain dengan lafaz pengakuan menerima jawatan Ahli Majlis diikuti Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Al Haj Tengku Harun.

Tempoh perkhidmatan bagi semua Ahli Majlis MDKL itu berkuat kuasa mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2020 nanti.

Di samping itu, Mohamad Zain berkata, MDKL juga mahu setiap ahli majlis mampu menjadi satu pasukan kuat bagi memastikan hasrat menjadikan MDKL bertaraf Majlis Perbandaran dalam masa terdekat.

Katanya, semua jabatan, bahagian dan unit di MDKL turut digerakkan untuk bekerja keras kearah itu.

“Semua perkara ini memerlukan kerjasama jitu daripada setiap warga kerja serta kombinasi muka lama dan baharu ahli majlis agar dapat memperkukuhkan pentadbiran MDKL.

“Ia seterusnya merealisasikan hasrat menjadikan Kuala Langat sebuah perbandaran maju, dinamik, lestari dan terbilang,” katanya.