Categories
NASIONAL

Mohamed Azmin akui tiada perbincangan HSR di Singapura

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengakui Kementerian Pengangkutan Singapura benar mengenai tiada pertemuan antara beliau dengan pegawai kanan republik itu minggu lalu mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menurutnya, Singapura mencadangkan sebelum 31 Julai untuk membincangkan mengenai HSR namun beliau terlalu sibuk dengan sesi Parlimen dan isu domestik.

“Adakah saya ada cakap saya bertemu secara rasmi dengan Kementerian Pengangkutan?

“Dan saya akan utarakan satu kertas kerja lain mungkin dalam Ogos dan akan tetapkan tarikhnya,” katanya kepada media di Lobi Parlimen, semalam.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan Singapura menafikan Azmin berhubung pertemuannya dengan pegawai kanan republik itu minggu lalu mengenai projek HSR.

Jurucakap kementerian itu berkata, tiada sebarang mesyuarat dijadualkan akan atau sudah berlangsung antara Mohamed Azmin dan pegawai dari Singapura berhubung projek berkenaan.

Mengulas mengenai pertemuan yang akan dilakukan kelak, Mohamed Azmin berkata semua pilihan akan dibincangkan termasuk soal pampasan.

“Saya bukan dalam keadaan mahu berkongsi dengan anda pada masa ini, saya rasa tak adil kerana mandat ini diberikan kepada saya untuk menyampaikan kepada Singapura,” katanya.