Categories
GLOBAL

New Zealand negara pertama dunia haramkan beg plastik

ELLINGTON, 10 OGOS: New Zealand mengharamkan penggunaan beg plastik mulai tahun depan sebagai langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, ia berikutan negara itu menggunakan ratusan beg plastik setiap tahun dan kebanyakannya berakhir di dalam laut, sekali gus membahayakan kehidupan marin.

Katanya, ketetapan pengharaman itu menjadikan New Zealand sebagai negara pertama di dunia yang berbuat demikian.

“Kita perlu lebih bijak dalam menguruskan sisa buangan dan ini ialah langkah permulaan yang amat baik.

“Kita hentikan penggunaan beg plastik bagi membolehkan kita menjaga alam sekitar dan melindungi reputasi New Zealand sebagai negara hijau yang bersih,” katanya.

Menurut Ardern, kerajaan gabungan pimpinan beliau termasuk Parti Hijau berdepan cabaran alam sekitar termasuk perubahan cuaca sekali gus mereka perlu mengambil langkah bermakna untuk mengurangkan pencemaran plastik supaya tidak membebankan generasi akan datang.

Beg plastik adalah antara benda paling kerap ditemui dibuang di sekitar pantai New Zealand dan kumpulan alam sekitar, Greenpeace mengalu-alukan langkah mengharamkan penggunaan bahan berkenaan.

“Ini boleh menjadi langkah utama dalam mengurangkan pembuangan plastik di dalam laut serta langkah pertama yang penting untuk melindungi hidupan marin seperti penyu dan ikan paus,” kata Penyelaras Kempen Greenpeace Ocean, Emily Hunter.

Laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang disiarkan Jun lalu menyebut, lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun atau hampir 10 juta beg plastik setiap minit. – AFP