Categories
NASIONAL

Parlimen: Turun harga jalur lebar penyelesaian menang-menang

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia komited memberi penyelesaian ‘menang-menang’ kepada syarikat telekomunikasi dalam pasaran dan pengguna susulan perancangan kerajaan menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, kementerian yakin syarikat telekomunikasi yang memberi perkhidmatan berkualiti dengan harga yang lebih murah akan dapat menarik lebih ramai pelanggan, seterusnya memberi keuntungan kepada syarikat.

“Ada yang kata kalau harga (perkhidmatan jalur lebar) turun maka keuntungan sesebuah syarikat telekomunikasi itu akan turun, itu tidak benar.

“Sebaliknya, kalau kita lebih kompetitif dan menawarkan pakej perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, pelanggan akan datang dan ini akan memperluaskan customer base (pangkalan pelanggan) kita, jadi keuntungan akan meningkat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kementerian menyatakan rasional tindakan pengumuman potongan harga jalur lebar.

SUMBER: BERNAMA