Categories
AGENDA NASIONAL

RM6 juta sedia jalur lebar mudah alih di kawasan industri

SHAH ALAM, 26 NOV: Kemudahan jalur lebar mudah alih di kawasan perindustrian akan disediakan menerusi inisiatif Jalur Lebar Industri Selangor (JALIN) yang membabitkan dana RM6 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata infrastruktur itu antara keperluan syarikat kecil, sederhana dan multinasional selain elektrik serta air untuk operasinya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan dapat mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pilihan utama pelabur tempatan dan luar negara.

“SMARTSEL Sdn Bhd (SMARTSEL) selaku penyedia infrastruktur telekomunikasi di Selangor akan bekerjasama dengan pemain industri telekomunikasi sedia ada dalam menyediakan jalur lebar di kawasan industri teknologi tinggi dengan peruntukan RM6 juta pada 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan memudahkan perjalanan perniagaan daripada aspek kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur.

Tambah beliau, tempoh proses pembangunan tanah akan dipendekkan kepada kurang daripada 200 hari selain memperkasakan pelaksanaan Smartbox di Pejabat Tanah dan Galian Selangor bermula tahun depan.

“Bagi memacu dan menggalakkan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat, Kerajaan Negeri bersetuju memberi insentif pengecualian 100 peratus bayaran caj pemajuan iaitu RM 500 bagi pembinaan rumah mampu milik. Insentif ini akan bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023.

“Selain itu, Dasar 100 Hari Kelulusan Tanah yang sebelum ini mensyaratkan bayaran deposit premium tanah 150 peratus daripada anggaran diturunkan kepada 100 peratus untuk mempermudahkan urusan pihak industri,” katanya.

Categories
NASIONAL

Harga jalur lebar tidak dikurangkan tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 FEB: Harga jalur lebar tidak akan dikurangkan pada tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Katanya, langkah itu diambil selepas kementerian mencapai sasaran meningkatkan kelajuan jalur lebar sebanyak dua kali ganda manakala harga sudah dikurangkan kepada separuh.

“Sebelum ini, kita bercadang mahu meningkatkan kelajuan dua kali ganda dan harga dikurangkan namun keadaan berubah apabila syarikat telekomunikasi sendiri sudah menurunkan harga dengan ketara.

“Oleh itu, bagi saya sasaran mahu meningkatkan kelajuan itu sudah pun tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM) di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, awal tahun ini Malaysia berjaya memenuhi sasaran penurunan harga jalur lebar sebanyak 25 peratus pada tahun lalu.

Katanya, kebanyakan syarikat telekomunikasi seperti Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd dan TIME dotCom Bhd menurunkan harga jalur lebar mereka sebanyak 30 peratus hingga 65 peratus.

Sementara itu, Gobind berkata, Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjadi satu-satunya syarikat mengusulkan cadangan untuk membina infrastruktur gentian optik.

“Hanya TNB mengusulkan cadangan itu. Pada dasarnya, ia adalah sebuah syarikat tempatan mempunyai infrastruktur sedia ada dan berfungsi di Malaysia.

“Jadi itu antara faktor kita mengkaji kemungkinan satu projek perintis di Jasin, baru-baru ini,” katanya.

Projek perintis TNB selama tiga bulan di Jasin itu dilaksanakan menerusi inisiatif Pelan Ketersambungan dan Fiberi Nasional yang diumumkan semasa Pembentangan Belanjawan 2019.

Categories
NASIONAL

Parlimen: Turun harga jalur lebar penyelesaian menang-menang

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia komited memberi penyelesaian ‘menang-menang’ kepada syarikat telekomunikasi dalam pasaran dan pengguna susulan perancangan kerajaan menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, kementerian yakin syarikat telekomunikasi yang memberi perkhidmatan berkualiti dengan harga yang lebih murah akan dapat menarik lebih ramai pelanggan, seterusnya memberi keuntungan kepada syarikat.

“Ada yang kata kalau harga (perkhidmatan jalur lebar) turun maka keuntungan sesebuah syarikat telekomunikasi itu akan turun, itu tidak benar.

“Sebaliknya, kalau kita lebih kompetitif dan menawarkan pakej perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, pelanggan akan datang dan ini akan memperluaskan customer base (pangkalan pelanggan) kita, jadi keuntungan akan meningkat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kementerian menyatakan rasional tindakan pengumuman potongan harga jalur lebar.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TM umum jalur lebar murah suku tahun depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 JUN: Telekom Malaysia (TM) akan mengumumkan butiran terperinci mengenai perkhidmatan jalur lebar murah melibatkan syarikatnya bermula suku tahun akan datang.

Jurucakap syarikat itu berkata, TM bertemu dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu itu, hari ini.

“TM menyokong hasrat Kerajaan Malaysia untuk menurunkan harga jalur lebar sehingga 25 peratus, seiring dengan aspirasi kementerian berkenaan yang mahu supaya kelajuan internet di negara ini ditingkatkan sekali gus meningkatkan daya saing,” katanya dalam kenyataan.

Pada 20 Jun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus pada hujung tahun ini.

Penurunan harga itu adalah berikutan pelaksanaan standard mandatori harga capaian (MSAP) sejak 8 Jun lalu.

Gobind juga mengarahkan SKMM mempertimbangkan langkah-langkah lain yang boleh menurunkan lagi harga jalur lebar.

Categories
NASIONAL

Turunkan harga jalur lebar, rakyat patut miliki akses pantas

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 SEP: Harga bagi pakej langganan internet di negara ini perlu dikurangkan kerana ramai rakyat masih belum mampu memiliki perkhidmatan itu.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv berkata adalah kekecewaan besar kepada penduduk di negara ini apabila Malaysia masih jauh ketinggalan dalam akses jalur lebar dan kelajuan internet.

Katanya, di Thailand, kos melanggan internet jalur lebar hanya RM72 (590 Baht) dengan kelajuan 15Mbps berbanding Malaysia RM211 untuk UniFi yang berkelajuan 10Mbps di rumah.

internet4“Internet berkelajuan tinggi boleh didapati di Malaysia, seperti UniFi TM (sehingga 20Mbps) dan Maxis Fibre Internet (kelajuan sehingga 100Mbps). Walau bagaimanapun, disebabkan harga yang sangat mahal, pakej ini di luar kemampuan rakyat Malaysia.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Salleh Said Keruak mesti bertanggungjawab dan menetapkan dasar baru bagi menggalakkan persaingan di kalangan pekerja industri untuk menjadi sebahagian dalam industri itu seterusnya membawa negara ke peringkat lebih tinggi.

AKAMAIRajiv berkata dalam projek National High Speed Broadband, hanyaTelekom Malaysia bertanggungjawab menjadi syarikat tunggal memiliki infrastruktur jalur lebar negara.

“Manakala Unifi TM yang dilancarkan pada 2009, juga mengekalkan harga sama. Jadi rangka kerja ini perlu dirombak dan memperkenalkan lebih banyak persaingan harga dan meningkatkan akses kelajuan tinggi,” katanya.

Beliau berkata Malaysia di tangga ke 70 dalam Akamai State Of Internet Report dengan purata berkelajuan hanya 5.0 Mbps.

“Menerusi laporan berita baru- baru ini, mendedahkan bahawa Malaysia ketinggalan berbanding Thailand dan Sri Lanka.

“Ia berbanding 8.6Mbps daripada Thailand (kedudukan ke 42 ) dan 12.7Mbps Singapura (kedudukan ke14),” katanya.

EZY